Jumaat, 22 Jun 2007

Cara Pengiraan Bil TNB


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia



Berikut adalah contoh bagaimana pengiraan bil TNB dibuat;

Contoh Perkiraan:

Mengikut Kadar Tariff A Kediaman (Bulanan):

Penggunaan KWH bulanan semasa ialah: 1200KWH

200 KWH (1-200 KWH)

kadar: RM0.218/unit --(200 x RM0.218) = RM 43.60

800 KWH berikutnya (201 – 1,000 KWH)

kadar: RM0.289/unit --(800 x RM0.289) = RM231.20

Lebih daripada 1000 KWH (1001 ke atas)

kadar: RM0.312/unit --(200 x RM0.312) = RM 62.40

Jumlah bil: RM337.20

Mengikut Kadar Tariff B Perdagangan Voltan Rendah (Bulanan):

Penggunaan KWH bulanan semasa ialah: 2000KWH

Bagi semua KWH (1-tanpa had KWH)

kadar: RM0.323/unit --(2000 x RM0.323) = RM646.00

Jumlah bil: RM646.00

Jumaat, 15 Jun 2007

TNB Jimat Ratusan Juta Ringgit Pengurangan Rizab Elektrik


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Sumber: Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 15 Mei - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dijangka dapat menjimatkan ratusan juta ringgit setahun dengan mengurangkan rizab tenaga elektrik negara kepada 20 peratus berbanding 40 peratus sekarang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Che Khalib Mohd. Noh berkata, TNB sedang mengkaji beberapa pilihan gerak tindak untuk mengurangkan margin simpanan itu ke paras 20 peratus termasuk kemungkinan meningkatkan eksport tenaga elektrik ke Thailand dan Indonesia.

TNB akan bekerjasama dengan kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga untuk mengkaji perkara tersebut yang diharap dapat menghasilkan rumusan terbaik dalam tempoh terdekat, katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat Ketua-Ketua Pihak Berkuasa dan Utiliti Tenaga ASEAN (HAPUA) Ke-22 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik semalam yang menyatakan TNB diarah mengurangkan rizab tenaga elektrik kepada 20 peratus berbanding 40 peratus sekarang bagi mengelakkan syarikat itu muflis.

Keng Yaik menyatakan bahawa rizab bekalan elektrik negara sebanyak 40 peratus yang ditetapkan itu adalah terlalu besar dan ia merupakan satu pembaziran kerana tenaga itu tidak dapat digunakan.

Rizab tenaga elektrik ialah tenaga simpanan yang tidak digunakan, tetapi dihasilkan bagi menampung keperluan mengejut dan terdesak.

Menurut Che Khalib, TNB bagaimanapun menjangkakan permintaan bagi elektrik akan terus meningkat pada masa depan dengan kadar pertumbuhan purata 6 peratus setahun.

Dalam konteks itu, ujar beliau, pertumbuhan permintaan elektrik dijangka menggunakan lebihan kapasiti yang dihasilkan oleh sistem sedia ada dalam tempoh tertentu.

Pada masa yang sama, beliau menambah, TNB juga akan secara aktif memeterai perjanjian antara sambungan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, yang akan akhirnya menggunakan juga lebihan kapasiti yang dijana di Malaysia.

Che Khalib berkata, syarikat utiliti nasional itu juga akan menggunakan platform seperti HAPUA untuk mempromosikan inisiatif seumpamanya.

Pada masa ini, tambah beliau, TNB telah memiliki perjanjian antara-sambungan dengan Electricity Generating Authority of Thailand untuk membekalkan 300 Megawatt (Mw) elektrik.

``Perjanjian itu telah terbentuk sejak 1981 dan bekalan itu boleh dinaikkan sehingga 600 Mw,'' katanya.

Jelasnya, antara perancangan masa depan termasuk projek transmisi Malaysia-Sumatera yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada masa ini, ujarnya, projek itu sedang diperhalusi lebih lanjut dengan pihak berkuasa tenaga di Indonesia.

Tahun lalu, Malaysia menjana kapasiti elektrik sebanyak 17,622 Mw dengan sebanyak 10,835 mw daripadanya dihasilkan oleh TNB dan baki 6,787 Mw oleh pengeluar tenaga bebas (IPP).

``Permintaan bagi elektrik di Malaysia tahun lalu ialah 12,493 Mw, maka itu kita telah pun menggunakan lebih 5,129 Mw daripada lebihan kapasiti yang ada,'' katanya.

Jumaat, 8 Jun 2007

Kenyataan Media Mentol Jimat Elektrik - Suruhanjaya Tenaga


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai badan kawalselia keselamatan elektrik di Malaysia ingin menarik perhatian pihak media dan pengguna berhubung dengan laporan berita pada 28 Februari 2007 oleh akhbar Berita Harian “Jangan Terpedaya Mentol Jimat Elektrik” dan NST “Not All Energy Saving Bulbs Do The Job”.

Ingin dimaklumkan bahawa fakta yang dikemukakan melalui laporan akhbar-akhbar berkenaan adalah tidak tepat dan dikhuatiri mengelirukan pengguna. Sila ambil maklum bahawa:

Fakta 1.

Mentol elektrik adalah BUKAN kelengkapan elektrik yang dikawal oleh Suruhanjaya Tenaga. Ianya tidak memerlukan sebarang perakuan kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan/ atau sebelum dipasarkan di Malaysia. Suruhanjaya Tenaga tidak mengeluarkan sebarang pengesahan berupa pelekat kepada mana-mana mentol elektrik di pasaran. Maklumat terperinci mengenai kelengkapan elektrik yang diluluskan ST dan syarat-syarat kelulusan yang berkaitan boleh dilayari di laman web ST iaitu: www.st.gov.my (Approval of Electrical Equipment (Electricity Regulations 1994).

Fakta 2.

Suruhajaya Tenaga tidak pernah mengiktiraf mana-mana jenama mentol elektrik sebagai mentol elektrik yang mampu menjimatkan penggunaan elektrik. Ini bercanggah dengan laporan akhbar-akhbar berkenaan yang memaklumkan bahawa Suruhanjaya Tenaga hanya mengiktiraf jenama Philips dan Osram sebagai jenama mentol penjimat elektrik di Malaysia.
Pengguna seharusnya bijak dalam membuat pilihan sebelum membeli apa-apa kelengkapan elektrik. Mereka boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tenaga sekiranya curiga dengan sebarang kelengkapan elektrik yang berada di pasaran.

Suruhanjaya Tenaga
28 Februari 2007
Untuk Maklumat Lanjut, hubungi:
Md Yuha Ismail (yuha@st.gov.my)/ Sueharti Mokhtar (sueharti@st.gov.my)
Unit Komunikasi Korporat
Tel: 03-26125505/ 506

Jumaat, 1 Jun 2007

Jangan Terpedaya Mentol Jimat Elektrik


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Berita Harian

28 Februari 2007

Sebahagian besar mentol penjimat elektrik yang dijual di pasaran tempatan dan mendapat sambutan menggalakkan orang ramai, sebenarnya lampu biasa dan tidak menjimatkan tenaga.


Jurucakap Suruhanjaya Tenaga berkata, walaupun pelbagai jenama mentol penjimat elektrik dijual di negara ini, hanya dua diakui dan disahkan oleh pihaknya mampu menjimatkan tenaga.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Tenaga menasihatkan orang ramai berhati-hati dan hanya membeli mentol penjimat elektrik yang mempunyai pelekat disahkan Suruhanjaya Tenaga bagi mengelak ditipu.

“Setakat ini cuma dua jenama mentol penjimat tenaga, iaitu keluaran Philips dan Osram diiktiraf Suruhanjaya Tenaga mampu menjimatkan elektrik,” katanya.

Tinjauan mendapati, sekurang-kurangnya lapan jenama mentol penjimat tenaga pelbagai jenis, dijual dengan sebahagian besar diimport dari China dan Indonesia.

Mentol penjimat elektrik itu dijual pada harga antara tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding mentol jenis biasa dan mendapat sambutan baik pengguna yang menyangka ia dapat mengurangkan bil elektrik mereka.

Selain mampu menjimatkan elektrik, kebanyakan pengeluar mentol terbabit juga mendakwa ia tahan sehingga lima kali lebih lama serta lebih selamat digunakan.

Kebanyakan mentol itu juga mempunyai pelekat khas untuk mengelirukan pengguna sedangkan maklumat yang dipaparkan bukannya pengesahan daripada pihak berkuasa atau Suruhanjaya Tenaga.

Lebih membimbangkan, beberapa jenis mentol berkenaan tidak mempunyai label kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga.

Sementara itu, sumber industri berkata, ujian yang dilakukan terhadap beberapa mentol penjimat tenaga mendapati, kebanyakannya menggunakan kadar elektrik sama.

“Ini jelas satu penipuan kepada pengguna kerana mentol terbabit dijual pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding jenis biasa semata-mata kerana ia didakwa mampu menjimatkan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, kebanjiran mentol penjimat elektrik berlaku kerana mendapat sambutan menggalakkan pengguna berikutan pelarasan tarif elektrik pertengahan tahun lalu.

Selain mentol, pelbagai alat lain yang didakwa mampu mengurangkan penggunaan elektrik untuk dipasang pada meter elektrik rumah atau kilang, turut mendapat sambutan sedangkan keberkesanannya tidak dapat dibuktikan.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (gambar), berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menipu pengguna.

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin