Ahad, 27 April 2008

Pengeluar Kabel Dasar Laut Jepun Dan Itali Rancang Bina Kilang Di Sarawak


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Berita Harian

PUTRAJAYA: Satu usaha sama antara pengeluar kabel dasar laut Jepun dan Itali, merancang untuk membina sebuah kilang di Sarawak untuk memenuhi keperluan pasaran-pasaran Timur Tengah dan serantau, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, hari ini.Beliau tidak menamakan syarikat itu tetapi berkata, butiran terperinci mengenainya sedang diusahakan dan selepas itu kelulusan kerajaan akan diperoleh.



Gambar Hiasan: Kabel Dasar Laut

Shaziman berkata tidak ramai peserta dalam industri ini tetapi kedua-dua syarikat menunjukkan minat dalam projek berkenaan.Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan dan penyampaian anugerah cemerlang kementeriannya di sini, beliau bagaimanapun menegaskan, terpulang kepada Sime Darby dan Tenaga Nasional untuk memutuskannya usaha sama itu kerana kedua-dua syarikat sudah diamanahkan untuk projek Bakun dan penghantaran tenaga elektrik itu.

“Ia adalah keputusan mereka. Tapi, apa yang ingin saya katakan ialah tidak ramai pengeluar yang terbabit dalam bidang khusus ini, iaitu menghasilkan kabel dasar laut dengan kapasiti tinggi,” katanya.

Shaziman yakin ia menguntungkan bagi mewujudkan sebuah kilang di dalam negara kerana ia kemudiannya boleh turut serta dalam projek Bakun dan pada masa yang sama memasarkan produknya ke rantau ini.Katanya, projek Bakun kini lebih 70 peratus siap dan dijangka menjelang 2009 atau 2010 untuk memindahkan kuasa ke Semenanjung.

Unit kepada Sime Darby Bhd, Sime Darby Power Bhd (SDP), yang membina bangunan Sistem Penghantaran Empangan Bakun-Semenanjung Malaysia bernilai berbilion ringgit, termasuk kabel dasar laut sepanjang 700km, dilaporkan sudah memanggil untuk tender pra-kelayakan.

Tender pra-kelayakan itu ialah untuk reka bentuk, menghasil, menguji, menyampai, pemasangan dan pelaksanaan bagi menghubungkan arus terus voltan tinggi (HVDC) antara loji kuasa empangan Bakun dan Semenanjung. - Bernama

Sabtu, 26 April 2008

Janakuasa Hidro, Gas Elak Krisis Elektrik 2010


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Oleh JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 12 April - Kerajaan negeri menyediakan pelan alternatif bagi mendapatkan tambahan sumber bekalan tenaga elektrik berikutan pembatalan projek Janakuasa Arang Batu bernilai RM1.3 bilion di Lahad Datu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sumber tersebut ialah melalui pembinaan janakuasa elektrik hidro atau janakuasa gas yang lebih bersifat mesra alam berbanding janakuasa arang batu yang dirancang sebelum ini.


Gambar Hiasan: Stesen Janakuasa Hidro-elektrik Batang Ai, Sarawak

Menurut beliau, kedua-dua pelan alternatif itu telah dibincang dan dikemukakan kepada Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh untuk dipertimbangkan.

''Kalau boleh kita mahu melihat sumber alternatif iaitu sama ada janakuasa hidro atau janakuasa gas dan saya telah minta TNB memberi pertimbangan dalam menyelesaikan masalah ini.

''Saya percaya kita boleh bina janakuasa hidro di Liwagu (Ranau) dan Ulu Padas (Tenom) dan kita minta tolong Petronas wujudkan Pengeluar Penjana Kuasa Bebas (IPP) untuk janakuasa gas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmi Mesyuarat Agung Persatuan Golf Melayu Sabah di Karambunai Resort Golf Kelab, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas laporan kenyataan TNB semalam bahawa penduduk Sabah akan berdepan krisis kekurangan bekalan elektrik menjelang 2010 akibat pembatalan projek janakuasa arang batu berkuasa 300 megawatt (MW) yang diumumkan oleh kerajaan negeri minggu lalu.

TNB yang kesal dengan tindakan itu melahirkan kebimbangan bahawa Sabah akan berhadapan masalah kekurangan bekalan elektrik kerana tindakan segera perlu diambil bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi untuk keperluan masa akan datang.

Musa pada 2 April lalu mengumumkan mesyuarat Kabinet Sabah menolak cadangan agar Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan TNB meneruskan pembinaan stesen itu di Silam, Lahad Datu kerana boleh menjejaskan alam sekitar.

Janakuasa itu sebelum ini dikatakan akan dibina berdekatan Lembangan Maliau, Teluk Darvel, Lembah Danum dan Ulu Segama merupakan salah satu daya tarikan penting bagi industri pelancong bagi negeri itu.

Mengulas lanjut, Musa berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama termasuk apa sahaja kelulusan yang berkaitan dalam membina sumber tenaga alternatif di Sabah.

Jumaat, 25 April 2008

Kemalangan Jalanraya & Litar Pintas - Apa Kaitannya


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Awal pagi 14hb lepas, +- pukul 1.50 pagi, berlaku satu kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat susur keluar ke Pandan Jaya/Cempaka. Apa pula kaitan kemalangan di MRR2 dengan blog elektrik ni?



Kemalangan telah menyebabkan berlaku litar pintas kepada pendawaian elektrik kereta tersebut, lalu menyebabkan kebakaran kecil di bahagian enjin. 

Walaupun kecil, kalau dah menyambar petrol, tak ke haru?

Cerita penuh; Masa aku dalam perjalanan balik dari Johor, aku antara yang terawal sampai tempat kemalangan itu. Pemandu masih terperangkap, pada masa sama kelihatan api menyala di bahagian enjin yang remuk. Sementara 2 pemuda bermotosikal keluarkan mangsa yang pengsan, aku bergegas ambil pemadam api mudah alih (CO2) dari kereta kancil (aku pinjam kereta mak mertua), seorang pemuda lagi ambil pemadam tu dan padamkan api (aku tak berani nak padam, hu...hu...hu...). 

Lepas api padam, aku pergi kat kereta tu, offkan kunci/suis lampu untuk elak litar pintas sebabkan kebakaran semula (berani la pulak....).

Alhamdulillah, semua selamat, mangsa masih bernafas, kadar kecederaan tidak diketahui. Bomba dah ambulan dihubungi untuk langkah berjaga-jaga. Trak penunda? 5 Minit lepas kejadian, dah ramai callman kerumun. Aku pun angkat kaki la.....

Apa yang perlu kita tahu dari peristiwa ini;
Litar pintas pada pendawaian kenderaan tidak kira ketika kemalangan atau tidak, boleh menyebabkan kebakaran. Apabila menyedari berlaku kebakaran pada kenderaan, offkan enjin dan semua suis. Padamkan kebakaran guna pemadam api jenis (CO2). Jika selamat, tanggalkan kabel dari terminal bateri.

Ahad, 20 April 2008

Salah Guna Terma Teknologi Nano


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Oleh Farhah Abdullah

KEBANYAKAN produk elektrik terkini termasuk kosmetik keluaran antarabangsa mahupun tempatan mendakwa mereka mempunyai inovasi teknologi nano. Tetapi dakwaan itu sememangnya boleh dipertikaikan dari sudut perdagangan sama ada dakwaan mereka tepat atau tidak berkenaan perihal penggunaan terma teknologi nano.

Carian google setakat ini memaparkan lebih 193,000 maklumat berkenaan teknologi itu. Ia masih agak baru di Malaysia. Sungguhpun demikian, produk yang dikatakan mengaplikasikan pendekatan teknologi nano mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengguna Malaysia.


Gambar Hiasan: Mesin basuh ini dikatakan dihasilkan melalui kejuruteraan teknologi termaju. Teknologi silver nano yang digunakan didakwa mampu membunuh sehingga 99.9% bakteria dan kesan anti-bakteria tersebut boleh bertahan sehingga 30 hari.

Persoalannya, adakah kita faham apa aplikasi teknologi nano itu?

Memandangkan teknologi nano baru diperkenal, maka sewajarnya produk yang didakwa mengaplikasikan teknologi ini harus menepati aplikasi teknologi nano yang sebenar dan bukan sekadar gimik atau menggunakan terma teknologi nano sewenang-wenangnya.

Berdasarkan Seksyen 15, Akta Jualan Barangan 1957, sekiranya terdapat sesuatu kontrak untuk menjual barangan tetapi wujud satu syarat tersirat dalam kontrak jualan barang tersebut bahawa barang yang dijual harus menepati perihal berkenaan.

Dalam isu menggunakan perihal pendekatan teknologi nano, sewajarnya produk berkenaan mempunyai aplikasi yang bertepatan dengan konsep dan kaedah yang betul dan tepat.

Perkataan 'perihal' di bawah Seksyen 15 Akta Jualan Barangan 1957 merangkumi banyak aspek termasuklah ukuran, saiz, bahan-bahan, cara pek dan label, merujuk pada tempat di mana barangan dibuat, kuantiti dan lain-lain.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pendekatan didakwa oleh pengeluar bahawa produk mereka menggunakan aplikasi teknologi nano seperti peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh dari jenama antarabangsa atau tempatan.
Harganya agak mahal tetapi tetap laris disebabkan dikatakan mengguna teknologi nano.

Amat memeranjatkan penulis apabila dihampiri penjual yang mempromosikan peti sejuk yang didakwa mempunyai aplikasi teknologi nano. Penerangan penjual berkenaan teknologi nano sememangnya salah dan tidak tepat.

Justeru, amat malang sekiranya pengguna teruja lantas membelinya dengan harga yang tinggi. Justeru, pemahaman kita tentang teknologi nano secara berterusan perlu demi memastikan tidak sewenang-wenangnya diperdaya secara intelek!

Misalnya, bio aura penapis yang memperihal akan menghasilkan komponen bersifat nano dan mempunyai molekul bersaiz nano! Persoalannya, adakah pengguna peka atau arif tentang apa yang dimaksudkannya?

Kita perlu kaji secara mendalam melalui pembacaan meluas berdasarkan penemuan saintifik yang terkini dan diyakini kesahihannya dan berbincang dengan mereka yang arif tentang teknologi nano.

Justeru, kewajaran menggunakan terma teknologi nano boleh dipertikaikan sekiranya melanggar salah satu daripada tiga syarat yang harus dibuktikan dalam Seksyen 16(1)(a) iaitu 
(i) pembeli secara nyata atau termaklum telah menzahirkan kepada penjual tentang maksud tertentu barang-barang itu dikehendaki; 
(ii) pembeli bergantung atau mengharapkan kemahiran atau hemat penjual; dan 
(iii) barang-barang itu adalah dari perihal yang dibekalkan dalam perjalanan biasa perniagaan penjual.

Saranan supaya langkah memperkenalkan teknologi nano di peringkat sekolah wajar dilaksanakan kerana ia bergerak seiring dengan keperluan budaya masa kini yang mahukan keselesaan, pantas dan mudah.

Hakikatnya, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu arif dan peka tentang iklan moden, kontemporari dengan teknologi nano. Usah membeli sekiranya kita tidak berkemampuan atau masih kurang faham!

Sabtu, 19 April 2008

Peniaga Mati Kejutan Elektrik


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Harian Metro

10 April 2008

KANGAR: Seorang peniaga pasar malam, Muhammad Redzuan Ahmad, 26, yang cuba menyambung kabel daripada sebuah generator di pasar malam di sini malam tadi terbunuh akibat kejutan elektrik.


Gambar Hiasan: Set Generator yang biasanya digunakan peniaga pasar malam

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 malam ketika sebahagian besar peniaga mula menghidupkan generator bagi menerangi kawasan jualan mereka di perkarangan Stadium Utama Kangar itu.

Isteri peniaga itu, Masrina Mahyuddin, 27, berkata, semasa kejadian suaminya sedang menyambung kabel generator bagi menerangi kawasan jualan mereka apabila tiba-tiba kejutan elektrik berlaku.

Akibat kejutan elektrik itu, katanya suaminya telah terjatuh tetapi bangun semula seketika sebelum jatuh semula dan pengsan lalu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini. Pasangan itu berniaga pelbagai jenis tikar.

Bagaimanapun bekas tentera laut yang menetap di Kampung Behor Gonchar dekat sini meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. - Bernama

Jumaat, 18 April 2008

TNB Tandatangani MoU Dengan Felda Palm Industries Sdn Bhd & J-Power Untuk Membina Stesyen Janakuasa Biomass


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Tenaga Nasional Berhad dalam laman webnya menyatakan mereka telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Felda Palm Industries & J-Power dari Jepun untuk membangunkan stesen janakuasa Biomass (wikipedia) di Jengka, Pahang.


 Gambar Hiasan: Tandan Sawit Kosong Dijadikan Bahan Bakar

 Projek tenaga boleh diperbaharui ini dirancang siap pada penghujung tahun 2010. Bahan bakar yang digunakan untuk menjana tenaga adalah bahan buangan dari tandan buah kelapa sawit (empty fruit bunches, EFB).

Stesyen janakuasa tersebut akan menghasilkan 10 MW tenaga dan akan disambungkan kepada grid 11 kv  TNB yang membekalkan elektrik di kawasan sekitar. TNB juga menyatakan bahawa stesyen tersebut akan dilengkapi sistem pantauan & kawalan ketat bagi memenuhi syarat-syarat Jabatan Alam Sekitar.

Selasa, 15 April 2008

Tarif Elektrik Mungkin Naik?


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Dah baca berita mengenai TNB hari ini? TNB mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 1.47 % disebabkan kenaikan harga bahan bakar; arang batu, di mana kenaikan harga sehingga 50% dicatatkan.
  

Gambar Hiasan: Inilah rupanya arang batu yang digunakan untuk menjana tenaga.

TNB menyatakan bahawa kecekapan pengurusan akan ditingkatkan menerusi pelbagai langkah inisiatif bagi mengurangkan kesan daripada kenaikan kos bahan api.

Di Buletin Utama TV3 malam tadi, terdapat satu kenyataan yang amat membimbangkan aku; kemungkinan kenaikan tarif elektrik! Itupun bergantung kepada keadaan harga bahan bakar semasa dan kelulusan dari kerajaan.

Kalau dah harga elektrik naik, faham-faham je la….. Harga barang pasti akan naik.

Siapa-siapa yang berniaga, takkan nak tanggung kenaikan tu….

Siapa-siapa yang baru naik gaji, sia-sialah kenaikan tu…..

Siapa-siapa yang tak pernah naik gaji, lagilah sengsara….

Baca di sini & sini juga di sini dan fikir-fikirkan….  


Ahad, 13 April 2008

Kaedah-kaedah Keselamatan Menghadapi Banjir


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Suruhanjaya Tenaga di dalam lawan webnya pada 10 Mac 2008 telah menggariskan panduan atau kaedah-kaedah menghadapi banjir khususnya dalam pengendalian elektrik dan perkakasannya.




Suruhanjaya Tenaga di dalam lawan webnya pada 10 Mac 2008 telah menggariskan panduan atau kaedah-kaedah menghadapi banjir khususnya dalam pengendalian elektrik dan perkakasannya.

Di antara langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya anda mempunyai masa sebelum diarahkan berpindah, pastikan perkara-perkara berikut dibuat;

  • Matikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama ke kedudukan "OFF".
  • Pastikan semua suis dalam keadaan "OFF" dan tanggalkan palam kuasa semua peralatan elektrik.
  • Seberapa yang boleh, letakkan semua peralatan elektrik di tempat yang tinggi dan difikirkan selamat bagi mengelakkan terkena air.

KLIK SINI UNTUK MUAT-TURUN FAIL: KAEDAH-KAEDAH KESELAMATAN MENGHADAPI BANJIR (pdf)

Adalah diharapkan maklumat tersebut dapat membantu menyelamatkan anda dan keluarga dan jiran tetangga :) dari mengalami kemalangan disebabkan oleh arus elektrik akibat banjir.

Sabtu, 12 April 2008

TNB Shares Flat On Decision To Drop Power Plant Plan


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Source: The Star

3rd April 2008

PETALING JAYA: Shares in Tenaga Nasional Bhd (TNB) ended flat yesterday on muted reaction to the Sabah government’s decision to drop plans to build a 300MW coal-fired power plant near Lahad Datu.


Coal-fired Power Plant

The state has also directed TNB to look for alternative sources of energy and site.

“The decision (to scrap the project) has no impact on our forecast for TNB,” said AmResearch Sdn Bhd analyst Ng Yong Yin when contacted yesterday. TNB’s share price was unchanged yesterday at RM7.50 with six million shares transacted.

The RM1.3bil coal-fired power plant project was won by a TNB-led consortium in June last year via an open tender process carried out by the Economic Planning Unit of the Prime Minister’s Department. The contract to build the power plant was later awarded to China National Electric Equipment Corp.

The proposed plant was expected to be operational by 2011, and was targeted to supply electricity to palm oil mills and industrial areas in the east coast region stretching from Sandakan to Tawau. The project “is expected to boost and stabilise the Sabah state grid and supply to the eastern coastal area,” TNB said in a statement to announce that it had submitted a detailed Environmental Impact Assessment report on the project yesterday.

Among other things, the proposed coal-fired power plant would replace several existing diesel power plants in the state, which are more expensive to run due to the higher fuel price. The project, however, drew strong opposition from environmentalist groups due to its location.

Critics also argued that Sabah could draw electricity from neighbouring Sarawak, which has several new hydroelectric dam projects in the pipeline, including the massive Bakun Dam. With Bakun about 600km away from the east coast of Sabah, transmitting the power overland would cost significantly more than the coal-fired power plant project, sources said.

Finding a new location for the plant would also mean further delay to the project that had taken at least six years to get off the drawing board. Meanwhile, TNB’s near-term prospects continued to be weighed down by rising coal fuel cost and its ability to adjust tariff charged to consumers. At yesterday’s close, the stock was down 22% year-to-date versus the KL Composite Index 14% drop over the same period.

In an update on TNB yesterday, AmResearch said the immediate concerns on the group remained on the rising coal price that was expected to hit the group’s performance from the third quarter of its fiscal year ending Aug 31, 2008 (FY08) onwards.

Notwithstanding that, TNB was expected to benefit from the stronger ringgit, as about 47% of its outstanding loans are denominated in foreign currencies. AmResearch has a target price of RM9 for TNB and a “hold” call on the stock.

Jumaat, 11 April 2008

Dasar Pencahayaan N. Sembilan Diperluas


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Utusan Malaysia

SEREMBAN 31 Mac – Kerajaan negeri kini giat menjalankan Dasar Pencahayaan Negeri Sembilan yang kini dijalankan di kawasan luar bandar.

Gambar Hiasan: Lampu Jalan Berkuasa Solar

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar yang mula diperkenalkan pada tahun lepas kini rancak dijalankan dengan menggunakan lampu-lampu elektrik dan kuasa solar bagi kawasan-kawasan berkenaan.

“Kita telah mulakan pemasangan lampu-lampu berkenaan di jalan-jalan bukan utama dan jalan utama dan diikuti di kawasan kampung kerana saya fikir tidak adil jika orang bandar sahaja yang menikmati kemudahan ini.“Bil elektrik seperti yang kita maklum akan ditanggung sebanyak 50 peratus oleh Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di kawasan bandar, akan juga dimohon untuk kawasan luar bandar pada kadar yang sama,’’ jelasnya.Justeru, katanya, permohonan tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bagaimanapun, dasar berkenaan bergerak perlahan oleh kerana kekurangan prasarana seperti tiang-tiang lampu oleh vendor-vendor pembekal Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bukannya kerana kekurangan tenaga elektrik.Mohamad menjelaskan, pemasangan lampu di kawasan tersebut adalah penting dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Kita tidak mahu jalan-jalan utama di kawasan luar bandar terus gelap dan banyak kemalangan berlaku disebabkan orang dari luar menggunakan laluan tersebut.“Kadang-kadang mereka yang menggunakan jalan raya tersebut kemalangan oleh kerana mereka tidak dapat melihat dengan jelas ketika memandu dan saya fikir pemasangan lampu berkenaan perlu dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini dua kawasan telah menikmati kemudahan pencahayaan yang melibatkan kawasan luar bandar seperti di Rembau dan Kuala Pilah.

Ahad, 6 April 2008

Projek Landasan Elektrik Berkembar Diteruskan


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Berita Harian

3 April 2008

BUKIT MERTAJAM: Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar sepanjang 329 kilometer yang menelan belanja RM12.485bilion berjalan lancar dan pembinaannya dijangka siap mengikut jadual.


TERUSKAN PROJEK: Kerja membina landasan berkembar kereta api dijalankan

Projek usaha sama MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd (MMC-Gamuda) itu dimulakan selepas kerajaan memutuskan menyambung semula projek berkenaan Januari lalu dan sehingga kini sudah siap lima peratus.

Pengarahnya, Datuk Azmi Mat Nor, berkata projek itu kini berjalan lancar dan berterusan melalui empat negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis."Projek sudah mencapai tahap lima peratus dan setakat ini kami berpuas hati ia berjalan mengikut jadual," katanya pada taklimat media di sini, semalam.Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menyambung semula Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar selaras dengan dasar memajukan Utara Semenanjung melalui inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan dijadual siap sepenuhnya pada 2013.Apabila projek landasan berkembar berkenaan siap sepenuhnya pada 7 Januari 2013, Malaysia akan mempunyai landasan berkembar kereta api dari Johor Bahru ke Padang Besar sejauh 635 kilometer.

Pada Disember 2003, kerajaan membuat keputusan menangguhkan projek itu kerana mahu mengutamakan projek pembangunan lain.

Projek landasan berkembar elektrik itu dilaksanakan sebagai antara komponen penting untuk membentuk Rangkaian Kereta Api Rentas Asia dari Singapura ke Kunming di China.

Sektor 1 projek itu dikenali sebagai Jajaran Kedah sejauh 158 kilometer antara Bukit Mertajam dan Padang Besar manakala Sektor 2 pula dikenali sebagai Jajaran Utama sejauh 171 kilometer menghubungkan Butterworth dan Ipoh.

Ia akan mempunyai dua terowong, iaitu di Bukit Berapit sejauh 3.3 kilometer dan di Larut sepanjang 330 meter serta mempunyai tiga depot di Padang Besar, Prai dan Bukit Mertajam.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya yakin negeri yang terbabit dengan jajaran itu walaupun dikuasai pembangkang akan memberi kerjasama bagi membolehkan projek mega berkenaan siap seperti dirancang.

Beliau yakin semua kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada MMC-Gamuda dan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri terbabit berhubung pelaksanaan projek itu.

Katanya, projek itu membuka lebih 100,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri terbabit.

"Selain itu, industri berkaitan projek berkenaan juga akan menerima kesannya terutama industri simen, keluli dan kuari kerana lebih 20 juta tan kuari dan 1.5 juta tan simen diperlukan bagi menyiapkan landasan berkembar itu.

"Industri pengangkutan berat juga akan mendapat manfaat kerana projek itu menggunakan hampir 20,000 kenderaan dan jentera berat.

"Penduduk setempat juga akan menerima tempiasnya kerana ia akan mewujudkan permintaan untuk sewa rumah, restoran atau pusat makanan," katanya.

Sabtu, 5 April 2008

Mengaku Curi Dawai Elektrik


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Harian Metro

1 April 2008

KUALA LUMPUR: Seorang penjual besi buruk dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku bersalah mencuri seguni dawai elektrik untuk dijadikan modal membeli dadah.



Gambar Hiasan: Kabel tembaga berpenebat PVC

Tertuduh, S Rxxx, 37, mengangguk kepala isyarat mengaku bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Tasnim Abu Bakar.

Dia didakwa mencuri dawai elektrik pelbagai warna bernilai RM500 di lobi hotel di bangunan Sapuan Plaza, Jalan Raja Alang, di sini, pada jam 4.30 petang, 18 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 4.30 petang, 18 Januari lalu, pengadu seorang pengawal keselamatan Sapuan Plaza membuat rondaan dan ternampak tertuduh sedang memotong kabel elektrik di bangunan berkenaan.

Pengawal berkenaan menghampirinya dan ternampak seguni kabel wayar pelbagai warna di sebelah tertuduh.

Berikutan itu, pengadu menyoal tujuan tertuduh sebelum menahan dan membawanya ke balai polis berhampiran.

Siasatan mendapati tertuduh mencuri dawai elektrik itu untuk membeli dadah.

Jumaat, 4 April 2008

Tarif Elektrik Kekal


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Utusan Malaysia Online

PUTRAJAYA 25 Mac – Kerajaan akan mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada selagi harga minyak dan gas tidak berubah, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, apa yang penting bagi kementerian sekarang ialah memastikan keberkesanan penggunaan elektrik.

"Ini yang akan kita perkenalkan iaitu bagaimana menguruskan permintaan bekalan elektrik dan meningkatkan keberkesanan penggunaan elektrik,'' katanya.

Shaziman bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas oleh bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik kepada beliau di kementerian itu di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa harga bahan api dan gas sedia ada dikekalkan.

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin