Assalamualaikum, Salam 1Malaysia
BANDAR PUTERI JAYA – Seorang suri rumah terpaksa bergelut dengan
dua penjenayah apabila mereka menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad
(TNB) untuk membuat pemeriksaan dan penukaran meter yang dikatakan akan
diselaraskan ke semua rumah dalam kejadian kira-kira 10 pagi Selasa lalu.
Mangsa,
Siti Aishah Murad, 41, dibelasah dengan teruk selain dipijak di bahagian dada
dan dicekik oleh dua lelaki sebelum melarikan dua rantai dan gelang emas yang
membawa kerugian hampir RM10,000.
Menurutnya,
ketika itu dia bersama anak lelaki, Mohamad Nazim Mohd Zubir, 9, baru sahaja
masuk ke dalam rumah sebaik selesai kerja menyapu halaman.
“Sebaik
keluar dari tandas, saya ternampak seorang lelaki memberi salam dengan memakai
pakaian seragam TNB meminta kebenaran masuk ke rumah untuk memeriksa meter.
“Setelah
memberi kebenaran untuk masuk ke dalam, lelaki berkenaan meninggalkan
motosikalnya di luar rumah dan menyuruh saya membawa bil elektrik serta kad
pengenalan untuk diperiksa,” katanya.
Siti
Aishah berkata, sebaik sahaja keluar semula dengan membawa dokumen yang
diminta, datang pula seorang lagi lelaki dengan memakai baju T berwarna kelabu.
“Pekerja
TNB ini kemudian menjelaskan bahawa rakannya akan membuat penukaran meter pada
sebelah petang sebaik sahaja selesai pemeriksaan,” katanya.
Menurutnya,
secara tiba-tiba, kedua-dua lelaki berkenaan mengheretnya ke dalam rumah dan
memijak dada, mencekik leher dengan kuat dan menyepak bahu kiri dan kanan.
Katanya,
pergelutan itu bagaimanapun disedari Nazim yang berada di bahagian dapur.
“Saya
meminta Nazim melarikan diri dan menyuruhnya meminta bantuan jiran.
“Mungkin
disebabkan takut, kedua-duanya melarikan diri apabila melihat saya tidak
bermaya. Namun, ketika itu saya boleh mengejar mereka sehingga ke jalan raya,”
katanya.
Siti
Aishah berkata, jiran hanya menyedari kejadian sebaik sahaja diberitahu anaknya
namun, tidak sempat membantu kerana kedua-dua lelaki itu sudah melarikan diri
menggunakan motosikal.
Menurutnya,
dia mengalami trauma akibat kejadian itu dan sudah membuat pemeriksaan
kesihatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
“Saya
menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan individu tidak
dikenali,” katanya.
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika
dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.