Jumaat, 25 Januari 2008

Pengguna Perlu Digalak Meminimumkan Tenaga


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

Sumber: Berita Harian Online

KEMENTERIAN Tenaga, Air dan Komunikasi buat pertama kali memperkenalkan Bulan Tenaga dengan memperkenalkan logo, tema dan maskot ketika pelancarannya, 1 November lalu. Dengan temanya, Cekap Tenaga Amalan Kita, fokus utama program itu lebih terarah kepada mendidik dan mendedahkan pengguna kepada aspek kecekapan dan penjimatan tenaga.

Saya berpendapat program itu masih tidak mencapai sasaran, terutama kategori pengguna tenaga elektrik rendah, iaitu isi rumah dan peniaga sama ada pengguna kilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan lot kedai sebagai premis dan perniagaan. Pengguna biasanya disaran dan didedahkan dengan amalan penjimatan tenaga, tetapi tidak didedahkan kepada aspek kecekapan penggunaan tenaga.




Bagaimanapun, pengguna komersial dan industri lebih terdedah kepada isu kecekapan tenaga (Power Factor-PF) kerana termaktub di dalam tarif elektrik, mereka dikenakan penalti sekiranya PF rendah daripada paras 0.85. Tambahan pula, sekiranya mereka menggunakan meter baru bersifat digital yang membolehkan nilai PF dibaca berbanding jenis meter lama bersifat analog, ada kemungkinan nilai PF akan dinaikkan ke paras 0.90 pada masa akan datang.

Bagi mengelak penalti dan meningkatkan kecekapan supaya sentiasa melebihi paras 0.85, pengguna komersial dan industri memasang alat kecekapan tenaga, Regulator kecekapan tenaga atau 'capacitor bank' yang harganya puluhan ribu ringgit.

Oleh kerana pengguna isi rumah dan peniaga di premis lot kedai tidak dikenakan penalti PF rendah, maka ramai pengguna tidak tahu sama ada mereka menggunakan tenaga elektrik secara cekap atau tidak. Malah peniaga yang dikenakan penalti PF rendah pun kadangkala tidak tahu apa sebenarnya PF dan tidak dimaklumkan apa tindakan yang perlu diambil bagi meningkatkan PF dan mengelak dikenakan penalti setiap bulan. Dalam hal ini media atau syarikat pembekal sendiri tidak banyak mendedahkan isu ini untuk pengetahuan pengguna.

PF rendah kerana adanya tenaga reaktif (Y) yang berpunca daripada peralatan yang menggunakan motor (induktif dan penyimpanan tenaga) dan ia adalah pembaziran kepada pengguna dan juga syarikat pembekal elektrik. Pengguna pula dikenakan bayaran terhadap tenaga nyata.

Alat Regulator kecekapan tenaga berfungsi menghapuskan tenaga reaktif dan sekali gus meningkatkan PF mendekati 1.0 (tahap sempurna). Majoriti pengguna menggunakan tenaga elektrik untuk menjalankan peralatan yang bersifat induktif dalam jangka masa panjang seperti lampu kalimantang, kipas, pendingin hawa, peti sejuk dan pam. (Sila lawati website www.wikipedia.com/power_factor )

(Boleh juga rujuk di SINI)

Realitinya, ada lebih 10 jenama alat peningkatan kecekapan tenaga dipasarkan di negara ini, sama ada diimport atau buatan syarikat tempatan. Bagaimanapun, alat yang sesuai di premis rumah, lot kedai, pejabat atau PKS adalah yang dapat meminimumkan tenaga reaktif pada peralatan kita. Pihak yang berwajib perlu memaklumkan kepada pengguna alat yang sesuai dan ekonomik serta dibenarkan dipasang di premis pengguna demi menyahut kempen kerajaan meningkatkan kecekapan tenaga elektrik dan secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah atau perniagaan.

BEKAS PESYARAH PETROLEUM,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM),
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila....sila...sila tambah lauk..... :)

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin