Jumaat, 1 Februari 2008

Borong Fius Maut


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia

1 Februari 2008

Sumber: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui pelbagai komponen dan perkakas elektrik di rumah mereka sebenarnya tidak menepati piawaian, sebaliknya hanya menggunakan pelekat Sirim palsu yang tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga.

Difahamkan, kebanyakan peralatan elektrik seperti suis, fius, soket, wayar penyambung dan pelbagai perkakas lain dihasilkan sesuka hati oleh pengilang haram di bengkel tanpa mematuhi piawaian dan kelulusan Sirim.



Penggunaan perkakas elektrik ‘maut’ itu mengundang bahaya berikutan ia dikesan menjadi punca utama kejadian litar pintas, renjatan dan letupan barangan elektrik di rumah selain kebakaran kediaman atau premis perniagaan.

Penemuan memeranjatkan itu terbongkar selepas siasatan Sirim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati pelbagai perkakas elektrik yang dijual di pasaran tidak memenuhi piawaian ditetapkan Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi.

Hasil risikan sepasukan Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya, semalam menemui sebuah premis pemborong barangan elektrik di Kepong di sini, yang menjadi antara pengedar utama perkakas elektrik tiruan kepada pengguna.

Susulan itu, lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya diketuai Penolong Pengarahnya, Rosley Abdullah dibantu dua pegawai Sirim, menyerbu premis berkenaan jam 12 tengah hari.

Serbuan itu menyebabkan pemilik premis dan empat pekerjanya terkejut sebelum mengaku memperoleh bekalan ‘bahan mentah’ perkakas elektrik daripada pengedar di Sungai Buloh, Selangor.

Jurucakap KPDNHEP memberitahu Harian Metro, hasil pemeriksaan di premis itu menemui soket elektrik yang ditampal pelekat Sirim palsu oleh peniaga terbabit.

Selain itu, katanya, pegawai Sirim dan KPDNHEP turut menemui komponen peralatan elektrik lain yang didapati tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan Sirim membabitkan suis, kotak fius, soket mudah alih, kabel, soket, wayar penyambung serta pelbagai perkakas lain.

“Lebih mengejutkan apabila semua peralatan elektrik itu ditampal pelekat Sirim dan Suruhanjaya Tenaga untuk mengaburi pengguna.

“Pemilik kedai berusia 30-an turut mengaku memasang sendiri beberapa komponen lerai perkakas elektrik di belakang kedainya untuk menjimatkan kos.

“Siasatan lanjut mendedahkan perbuatan lebih menakutkan apabila ahli perniagaan itu mengaku menjual peralatan elektrik tidak selamat itu kepada kontraktor dan pemaju perumahan untuk beberapa projek besar.

“Jika benar dakwaan itu, penghuni rumah berdepan bahaya berikutan kotak fius, kabel dan wayar digunakan bakal menjadi punca kejadian litar pintas atau letupan kepada peralatan elektrik digunakan,” katanya.

Malah, katanya, siasatan mendapati ada wayar elektrik yang sepatutnya menggunakan dawai tembaga diganti besi disalut tembaga, menyebabkan ia gagal menampung kepanasan arus elektrik, lalu menyebabkan kebakaran.

Dalam serbuan itu, KPDNHEP merampas peralatan elektrik tiruan bernilai lebih RM10,000 dan ahli perniagaan terbabit bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, pemilik premis terbabit yang memalsukan logo Sirim dan Suruhanjaya Tenaga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh dihukum denda sehingga RM250,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila....sila...sila tambah lauk..... :)

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin