Jumaat, 15 Jun 2007

TNB Jimat Ratusan Juta Ringgit Pengurangan Rizab Elektrik


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Sumber: Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 15 Mei - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dijangka dapat menjimatkan ratusan juta ringgit setahun dengan mengurangkan rizab tenaga elektrik negara kepada 20 peratus berbanding 40 peratus sekarang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Che Khalib Mohd. Noh berkata, TNB sedang mengkaji beberapa pilihan gerak tindak untuk mengurangkan margin simpanan itu ke paras 20 peratus termasuk kemungkinan meningkatkan eksport tenaga elektrik ke Thailand dan Indonesia.

TNB akan bekerjasama dengan kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga untuk mengkaji perkara tersebut yang diharap dapat menghasilkan rumusan terbaik dalam tempoh terdekat, katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat Ketua-Ketua Pihak Berkuasa dan Utiliti Tenaga ASEAN (HAPUA) Ke-22 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik semalam yang menyatakan TNB diarah mengurangkan rizab tenaga elektrik kepada 20 peratus berbanding 40 peratus sekarang bagi mengelakkan syarikat itu muflis.

Keng Yaik menyatakan bahawa rizab bekalan elektrik negara sebanyak 40 peratus yang ditetapkan itu adalah terlalu besar dan ia merupakan satu pembaziran kerana tenaga itu tidak dapat digunakan.

Rizab tenaga elektrik ialah tenaga simpanan yang tidak digunakan, tetapi dihasilkan bagi menampung keperluan mengejut dan terdesak.

Menurut Che Khalib, TNB bagaimanapun menjangkakan permintaan bagi elektrik akan terus meningkat pada masa depan dengan kadar pertumbuhan purata 6 peratus setahun.

Dalam konteks itu, ujar beliau, pertumbuhan permintaan elektrik dijangka menggunakan lebihan kapasiti yang dihasilkan oleh sistem sedia ada dalam tempoh tertentu.

Pada masa yang sama, beliau menambah, TNB juga akan secara aktif memeterai perjanjian antara sambungan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, yang akan akhirnya menggunakan juga lebihan kapasiti yang dijana di Malaysia.

Che Khalib berkata, syarikat utiliti nasional itu juga akan menggunakan platform seperti HAPUA untuk mempromosikan inisiatif seumpamanya.

Pada masa ini, tambah beliau, TNB telah memiliki perjanjian antara-sambungan dengan Electricity Generating Authority of Thailand untuk membekalkan 300 Megawatt (Mw) elektrik.

``Perjanjian itu telah terbentuk sejak 1981 dan bekalan itu boleh dinaikkan sehingga 600 Mw,'' katanya.

Jelasnya, antara perancangan masa depan termasuk projek transmisi Malaysia-Sumatera yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada masa ini, ujarnya, projek itu sedang diperhalusi lebih lanjut dengan pihak berkuasa tenaga di Indonesia.

Tahun lalu, Malaysia menjana kapasiti elektrik sebanyak 17,622 Mw dengan sebanyak 10,835 mw daripadanya dihasilkan oleh TNB dan baki 6,787 Mw oleh pengeluar tenaga bebas (IPP).

``Permintaan bagi elektrik di Malaysia tahun lalu ialah 12,493 Mw, maka itu kita telah pun menggunakan lebih 5,129 Mw daripada lebihan kapasiti yang ada,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila....sila...sila tambah lauk..... :)

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin