KOTA BHARU 24 Mac - Seorang warga emas yang mengusahakan tanaman kulat ditemui mati selepas dipercayai terkena kejutan elektrik ketika berada di dalam bangsal di belakang rumahnya di Kampung Pintu Geng, dekat sini, petang semalam.
Mangsa, Abdul Rahman Abdullah, 64, ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri berhampiran kipas angin oleh anaknya, Roslina, 32, yang masuk mencarinya selepas panggilan tidak disahut.
Roslina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira 7 petang, ketika dia meninjau bangsal bapanya yang mengusahakan tanaman kulat.
"Saya cuba kejutkan bapa saya beberapa kali dan cuba memberi bantuan tetapi terasa arus elektrik, lalu saya bergegas naik ke rumah dan menutup fius utama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, hari ini.
Katanya, dia dengan bantuan penduduk kampung kemudian mengusung bapanya naik ke rumah sebelum menghubungi ambulans.
"Saya mengesyaki bapa saya terkena kejutan elektrik daripada kipas itu kerana sebelum ini dia tidak pernah membawa masuk ke dalam bangsal," katanya.
"Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan bapa saya terkena kejutan elektrik kerana tumit kakinya kehitaman dan jari kanannya luka.
"Selepas pemeriksaan oleh polis, mayat bapa saya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cengal, dekat Pintu Geng, di sini pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan, polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu dan mengklafikasikan mangsa mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila....sila...sila tambah lauk..... :)