Selasa, 21 Februari 2012

Nyaris Rentung Kena Renjatan


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


SYAJARATULHUDAMOHAMAD ROSLI (Sinar Harian)
21 Februari 2012

GEORGETOWN - Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) nyaris rentung apabila terbakar dan melecur di seluruh bahagian badannya selepas pencawang utama TNB di Jalan Kangsar dekat sini meletup secara tiba-tiba.

Dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu, Zaini Ismail, 35, dikatakan sedang membaiki kerosakan aliran bekalan elektrik pada pencawang itu dengan diawasi lima pekerja TNB sebelum kejadian.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba salah satu peralatan di pencawang itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa.

Akibat letupan terbabit, beberapa premis di kawasan itu terputus bekalan elektrik.

Pegawai Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Samsudin Ahmad berkata, mangsa mengalami kecederaan parah berikutan hampir 80 peratus badannya melecur.







Samsudin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan jaket khas bagi membalut badan mangsa sebelum di kejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

“Ketika terkena renjatan elektrik itu, mangsa masih dalam keadaan sedar malah kakitangan TNB yang berada di situ membantu memadamkan api menggunakan pemadam api yang disediakan di dalam pencawang itu sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.

“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 7.53 malam dan tiba selepas tiga minit kemudian bersama sebuah jentera dan enam anggota.

“Kita menerima panggilan mengatakan berlaku satu letupan di pencawang TNB di sini menyebabkan seorang mangsa cedera parah,” katanya.

Samsudin berkata, Jabatan Penyiasat Forensik Kebakaran akan menjalankan siasatan.

Difahamkan mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila....sila...sila tambah lauk..... :)

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin