Sabtu, 26 April 2008

Janakuasa Hidro, Gas Elak Krisis Elektrik 2010


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Oleh JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 12 April - Kerajaan negeri menyediakan pelan alternatif bagi mendapatkan tambahan sumber bekalan tenaga elektrik berikutan pembatalan projek Janakuasa Arang Batu bernilai RM1.3 bilion di Lahad Datu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sumber tersebut ialah melalui pembinaan janakuasa elektrik hidro atau janakuasa gas yang lebih bersifat mesra alam berbanding janakuasa arang batu yang dirancang sebelum ini.


Gambar Hiasan: Stesen Janakuasa Hidro-elektrik Batang Ai, Sarawak

Menurut beliau, kedua-dua pelan alternatif itu telah dibincang dan dikemukakan kepada Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh untuk dipertimbangkan.

''Kalau boleh kita mahu melihat sumber alternatif iaitu sama ada janakuasa hidro atau janakuasa gas dan saya telah minta TNB memberi pertimbangan dalam menyelesaikan masalah ini.

''Saya percaya kita boleh bina janakuasa hidro di Liwagu (Ranau) dan Ulu Padas (Tenom) dan kita minta tolong Petronas wujudkan Pengeluar Penjana Kuasa Bebas (IPP) untuk janakuasa gas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmi Mesyuarat Agung Persatuan Golf Melayu Sabah di Karambunai Resort Golf Kelab, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas laporan kenyataan TNB semalam bahawa penduduk Sabah akan berdepan krisis kekurangan bekalan elektrik menjelang 2010 akibat pembatalan projek janakuasa arang batu berkuasa 300 megawatt (MW) yang diumumkan oleh kerajaan negeri minggu lalu.

TNB yang kesal dengan tindakan itu melahirkan kebimbangan bahawa Sabah akan berhadapan masalah kekurangan bekalan elektrik kerana tindakan segera perlu diambil bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi untuk keperluan masa akan datang.

Musa pada 2 April lalu mengumumkan mesyuarat Kabinet Sabah menolak cadangan agar Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan TNB meneruskan pembinaan stesen itu di Silam, Lahad Datu kerana boleh menjejaskan alam sekitar.

Janakuasa itu sebelum ini dikatakan akan dibina berdekatan Lembangan Maliau, Teluk Darvel, Lembah Danum dan Ulu Segama merupakan salah satu daya tarikan penting bagi industri pelancong bagi negeri itu.

Mengulas lanjut, Musa berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama termasuk apa sahaja kelulusan yang berkaitan dalam membina sumber tenaga alternatif di Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila....sila...sila tambah lauk..... :)

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin