Sumber: Harian Metro
1 April 2008
KUALA LUMPUR: Seorang penjual besi buruk dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku bersalah mencuri seguni dawai elektrik untuk dijadikan modal membeli dadah.
Gambar Hiasan: Kabel tembaga berpenebat PVC
Tertuduh, S Rxxx, 37, mengangguk kepala isyarat mengaku bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Tasnim Abu Bakar.
Dia didakwa mencuri dawai elektrik pelbagai warna bernilai RM500 di lobi hotel di bangunan Sapuan Plaza, Jalan Raja Alang, di sini, pada jam 4.30 petang, 18 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 4.30 petang, 18 Januari lalu, pengadu seorang pengawal keselamatan Sapuan Plaza membuat rondaan dan ternampak tertuduh sedang memotong kabel elektrik di bangunan berkenaan.
Pengawal berkenaan menghampirinya dan ternampak seguni kabel wayar pelbagai warna di sebelah tertuduh.
Berikutan itu, pengadu menyoal tujuan tertuduh sebelum menahan dan membawanya ke balai polis berhampiran.
Siasatan mendapati tertuduh mencuri dawai elektrik itu untuk membeli dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila....sila...sila tambah lauk..... :)