Ahad, 20 April 2008

Salah Guna Terma Teknologi Nano


Assalamualaikum, Salam 1Malaysia


Oleh Farhah Abdullah

KEBANYAKAN produk elektrik terkini termasuk kosmetik keluaran antarabangsa mahupun tempatan mendakwa mereka mempunyai inovasi teknologi nano. Tetapi dakwaan itu sememangnya boleh dipertikaikan dari sudut perdagangan sama ada dakwaan mereka tepat atau tidak berkenaan perihal penggunaan terma teknologi nano.

Carian google setakat ini memaparkan lebih 193,000 maklumat berkenaan teknologi itu. Ia masih agak baru di Malaysia. Sungguhpun demikian, produk yang dikatakan mengaplikasikan pendekatan teknologi nano mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengguna Malaysia.


Gambar Hiasan: Mesin basuh ini dikatakan dihasilkan melalui kejuruteraan teknologi termaju. Teknologi silver nano yang digunakan didakwa mampu membunuh sehingga 99.9% bakteria dan kesan anti-bakteria tersebut boleh bertahan sehingga 30 hari.

Persoalannya, adakah kita faham apa aplikasi teknologi nano itu?

Memandangkan teknologi nano baru diperkenal, maka sewajarnya produk yang didakwa mengaplikasikan teknologi ini harus menepati aplikasi teknologi nano yang sebenar dan bukan sekadar gimik atau menggunakan terma teknologi nano sewenang-wenangnya.

Berdasarkan Seksyen 15, Akta Jualan Barangan 1957, sekiranya terdapat sesuatu kontrak untuk menjual barangan tetapi wujud satu syarat tersirat dalam kontrak jualan barang tersebut bahawa barang yang dijual harus menepati perihal berkenaan.

Dalam isu menggunakan perihal pendekatan teknologi nano, sewajarnya produk berkenaan mempunyai aplikasi yang bertepatan dengan konsep dan kaedah yang betul dan tepat.

Perkataan 'perihal' di bawah Seksyen 15 Akta Jualan Barangan 1957 merangkumi banyak aspek termasuklah ukuran, saiz, bahan-bahan, cara pek dan label, merujuk pada tempat di mana barangan dibuat, kuantiti dan lain-lain.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pendekatan didakwa oleh pengeluar bahawa produk mereka menggunakan aplikasi teknologi nano seperti peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh dari jenama antarabangsa atau tempatan.
Harganya agak mahal tetapi tetap laris disebabkan dikatakan mengguna teknologi nano.

Amat memeranjatkan penulis apabila dihampiri penjual yang mempromosikan peti sejuk yang didakwa mempunyai aplikasi teknologi nano. Penerangan penjual berkenaan teknologi nano sememangnya salah dan tidak tepat.

Justeru, amat malang sekiranya pengguna teruja lantas membelinya dengan harga yang tinggi. Justeru, pemahaman kita tentang teknologi nano secara berterusan perlu demi memastikan tidak sewenang-wenangnya diperdaya secara intelek!

Misalnya, bio aura penapis yang memperihal akan menghasilkan komponen bersifat nano dan mempunyai molekul bersaiz nano! Persoalannya, adakah pengguna peka atau arif tentang apa yang dimaksudkannya?

Kita perlu kaji secara mendalam melalui pembacaan meluas berdasarkan penemuan saintifik yang terkini dan diyakini kesahihannya dan berbincang dengan mereka yang arif tentang teknologi nano.

Justeru, kewajaran menggunakan terma teknologi nano boleh dipertikaikan sekiranya melanggar salah satu daripada tiga syarat yang harus dibuktikan dalam Seksyen 16(1)(a) iaitu 
(i) pembeli secara nyata atau termaklum telah menzahirkan kepada penjual tentang maksud tertentu barang-barang itu dikehendaki; 
(ii) pembeli bergantung atau mengharapkan kemahiran atau hemat penjual; dan 
(iii) barang-barang itu adalah dari perihal yang dibekalkan dalam perjalanan biasa perniagaan penjual.

Saranan supaya langkah memperkenalkan teknologi nano di peringkat sekolah wajar dilaksanakan kerana ia bergerak seiring dengan keperluan budaya masa kini yang mahukan keselesaan, pantas dan mudah.

Hakikatnya, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu arif dan peka tentang iklan moden, kontemporari dengan teknologi nano. Usah membeli sekiranya kita tidak berkemampuan atau masih kurang faham!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila....sila...sila tambah lauk..... :)

© Saiful Nizam Sarikin 2007 - 2012. All Copyright Reserved by Saiful Nizam Sarikin