Sumber: Berita Harian
3 April 2008
BUKIT MERTAJAM: Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar sepanjang 329 kilometer yang menelan belanja RM12.485bilion berjalan lancar dan pembinaannya dijangka siap mengikut jadual.
TERUSKAN PROJEK: Kerja membina landasan berkembar kereta api dijalankan
Projek usaha sama MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd (MMC-Gamuda) itu dimulakan selepas kerajaan memutuskan menyambung semula projek berkenaan Januari lalu dan sehingga kini sudah siap lima peratus.
Pengarahnya, Datuk Azmi Mat Nor, berkata projek itu kini berjalan lancar dan berterusan melalui empat negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis."Projek sudah mencapai tahap lima peratus dan setakat ini kami berpuas hati ia berjalan mengikut jadual," katanya pada taklimat media di sini, semalam.Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menyambung semula Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar selaras dengan dasar memajukan Utara Semenanjung melalui inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan dijadual siap sepenuhnya pada 2013.Apabila projek landasan berkembar berkenaan siap sepenuhnya pada 7 Januari 2013, Malaysia akan mempunyai landasan berkembar kereta api dari Johor Bahru ke Padang Besar sejauh 635 kilometer.
Pada Disember 2003, kerajaan membuat keputusan menangguhkan projek itu kerana mahu mengutamakan projek pembangunan lain.
Projek landasan berkembar elektrik itu dilaksanakan sebagai antara komponen penting untuk membentuk Rangkaian Kereta Api Rentas Asia dari Singapura ke Kunming di China.
Sektor 1 projek itu dikenali sebagai Jajaran Kedah sejauh 158 kilometer antara Bukit Mertajam dan Padang Besar manakala Sektor 2 pula dikenali sebagai Jajaran Utama sejauh 171 kilometer menghubungkan Butterworth dan Ipoh.
Ia akan mempunyai dua terowong, iaitu di Bukit Berapit sejauh 3.3 kilometer dan di Larut sepanjang 330 meter serta mempunyai tiga depot di Padang Besar, Prai dan Bukit Mertajam.
Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya yakin negeri yang terbabit dengan jajaran itu walaupun dikuasai pembangkang akan memberi kerjasama bagi membolehkan projek mega berkenaan siap seperti dirancang.
Beliau yakin semua kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada MMC-Gamuda dan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri terbabit berhubung pelaksanaan projek itu.
Katanya, projek itu membuka lebih 100,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri terbabit.
"Selain itu, industri berkaitan projek berkenaan juga akan menerima kesannya terutama industri simen, keluli dan kuari kerana lebih 20 juta tan kuari dan 1.5 juta tan simen diperlukan bagi menyiapkan landasan berkembar itu.
"Industri pengangkutan berat juga akan mendapat manfaat kerana projek itu menggunakan hampir 20,000 kenderaan dan jentera berat.
"Penduduk setempat juga akan menerima tempiasnya kerana ia akan mewujudkan permintaan untuk sewa rumah, restoran atau pusat makanan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila....sila...sila tambah lauk..... :)