Ahad, 27 April 2008
Pengeluar Kabel Dasar Laut Jepun Dan Itali Rancang Bina Kilang Di Sarawak
Sabtu, 26 April 2008
Janakuasa Hidro, Gas Elak Krisis Elektrik 2010
Jumaat, 25 April 2008
Kemalangan Jalanraya & Litar Pintas - Apa Kaitannya
Ahad, 20 April 2008
Salah Guna Terma Teknologi Nano
Sabtu, 19 April 2008
Peniaga Mati Kejutan Elektrik
Jumaat, 18 April 2008
TNB Tandatangani MoU Dengan Felda Palm Industries Sdn Bhd & J-Power Untuk Membina Stesyen Janakuasa Biomass
Selasa, 15 April 2008
Tarif Elektrik Mungkin Naik?
Ahad, 13 April 2008
Kaedah-kaedah Keselamatan Menghadapi Banjir


Suruhanjaya Tenaga di dalam lawan webnya pada 10 Mac 2008 telah menggariskan panduan atau kaedah-kaedah menghadapi banjir khususnya dalam pengendalian elektrik dan perkakasannya.
Di antara langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya anda mempunyai masa sebelum diarahkan berpindah, pastikan perkara-perkara berikut dibuat;
- Matikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama ke kedudukan "OFF".
- Pastikan semua suis dalam keadaan "OFF" dan tanggalkan palam kuasa semua peralatan elektrik.
- Seberapa yang boleh, letakkan semua peralatan elektrik di tempat yang tinggi dan difikirkan selamat bagi mengelakkan terkena air.
KLIK SINI UNTUK MUAT-TURUN FAIL: KAEDAH-KAEDAH KESELAMATAN MENGHADAPI BANJIR (pdf)
Adalah diharapkan maklumat tersebut dapat membantu menyelamatkan anda dan keluarga dan jiran tetangga :) dari mengalami kemalangan disebabkan oleh arus elektrik akibat banjir.
Sabtu, 12 April 2008
TNB Shares Flat On Decision To Drop Power Plant Plan

Jumaat, 11 April 2008
Dasar Pencahayaan N. Sembilan Diperluas
Sumber: Utusan Malaysia
SEREMBAN 31 Mac – Kerajaan negeri kini giat menjalankan Dasar Pencahayaan Negeri Sembilan yang kini dijalankan di kawasan luar bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar yang mula diperkenalkan pada tahun lepas kini rancak dijalankan dengan menggunakan lampu-lampu elektrik dan kuasa solar bagi kawasan-kawasan berkenaan.
“Kita telah mulakan pemasangan lampu-lampu berkenaan di jalan-jalan bukan utama dan jalan utama dan diikuti di kawasan kampung kerana saya fikir tidak adil jika orang bandar sahaja yang menikmati kemudahan ini.“Bil elektrik seperti yang kita maklum akan ditanggung sebanyak 50 peratus oleh Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di kawasan bandar, akan juga dimohon untuk kawasan luar bandar pada kadar yang sama,’’ jelasnya.Justeru, katanya, permohonan tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Bagaimanapun, dasar berkenaan bergerak perlahan oleh kerana kekurangan prasarana seperti tiang-tiang lampu oleh vendor-vendor pembekal Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bukannya kerana kekurangan tenaga elektrik.Mohamad menjelaskan, pemasangan lampu di kawasan tersebut adalah penting dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
“Kita tidak mahu jalan-jalan utama di kawasan luar bandar terus gelap dan banyak kemalangan berlaku disebabkan orang dari luar menggunakan laluan tersebut.“Kadang-kadang mereka yang menggunakan jalan raya tersebut kemalangan oleh kerana mereka tidak dapat melihat dengan jelas ketika memandu dan saya fikir pemasangan lampu berkenaan perlu dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini dua kawasan telah menikmati kemudahan pencahayaan yang melibatkan kawasan luar bandar seperti di Rembau dan Kuala Pilah.
Ahad, 6 April 2008
Projek Landasan Elektrik Berkembar Diteruskan
Sumber: Berita Harian
3 April 2008
BUKIT MERTAJAM: Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar sepanjang 329 kilometer yang menelan belanja RM12.485bilion berjalan lancar dan pembinaannya dijangka siap mengikut jadual.

TERUSKAN PROJEK: Kerja membina landasan berkembar kereta api dijalankan
Projek usaha sama MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd (MMC-Gamuda) itu dimulakan selepas kerajaan memutuskan menyambung semula projek berkenaan Januari lalu dan sehingga kini sudah siap lima peratus.
Pengarahnya, Datuk Azmi Mat Nor, berkata projek itu kini berjalan lancar dan berterusan melalui empat negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis."Projek sudah mencapai tahap lima peratus dan setakat ini kami berpuas hati ia berjalan mengikut jadual," katanya pada taklimat media di sini, semalam.Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menyambung semula Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar selaras dengan dasar memajukan Utara Semenanjung melalui inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan dijadual siap sepenuhnya pada 2013.Apabila projek landasan berkembar berkenaan siap sepenuhnya pada 7 Januari 2013, Malaysia akan mempunyai landasan berkembar kereta api dari Johor Bahru ke Padang Besar sejauh 635 kilometer.
Pada Disember 2003, kerajaan membuat keputusan menangguhkan projek itu kerana mahu mengutamakan projek pembangunan lain.
Projek landasan berkembar elektrik itu dilaksanakan sebagai antara komponen penting untuk membentuk Rangkaian Kereta Api Rentas Asia dari Singapura ke Kunming di China.
Sektor 1 projek itu dikenali sebagai Jajaran Kedah sejauh 158 kilometer antara Bukit Mertajam dan Padang Besar manakala Sektor 2 pula dikenali sebagai Jajaran Utama sejauh 171 kilometer menghubungkan Butterworth dan Ipoh.
Ia akan mempunyai dua terowong, iaitu di Bukit Berapit sejauh 3.3 kilometer dan di Larut sepanjang 330 meter serta mempunyai tiga depot di Padang Besar, Prai dan Bukit Mertajam.
Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya yakin negeri yang terbabit dengan jajaran itu walaupun dikuasai pembangkang akan memberi kerjasama bagi membolehkan projek mega berkenaan siap seperti dirancang.
Beliau yakin semua kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada MMC-Gamuda dan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri terbabit berhubung pelaksanaan projek itu.
Katanya, projek itu membuka lebih 100,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri terbabit.
"Selain itu, industri berkaitan projek berkenaan juga akan menerima kesannya terutama industri simen, keluli dan kuari kerana lebih 20 juta tan kuari dan 1.5 juta tan simen diperlukan bagi menyiapkan landasan berkembar itu.
"Industri pengangkutan berat juga akan mendapat manfaat kerana projek itu menggunakan hampir 20,000 kenderaan dan jentera berat.
"Penduduk setempat juga akan menerima tempiasnya kerana ia akan mewujudkan permintaan untuk sewa rumah, restoran atau pusat makanan," katanya.
Sabtu, 5 April 2008
Mengaku Curi Dawai Elektrik
Sumber: Harian Metro
1 April 2008
KUALA LUMPUR: Seorang penjual besi buruk dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku bersalah mencuri seguni dawai elektrik untuk dijadikan modal membeli dadah.


Gambar Hiasan: Kabel tembaga berpenebat PVC
Tertuduh, S Rxxx, 37, mengangguk kepala isyarat mengaku bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Tasnim Abu Bakar.
Dia didakwa mencuri dawai elektrik pelbagai warna bernilai RM500 di lobi hotel di bangunan Sapuan Plaza, Jalan Raja Alang, di sini, pada jam 4.30 petang, 18 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 4.30 petang, 18 Januari lalu, pengadu seorang pengawal keselamatan Sapuan Plaza membuat rondaan dan ternampak tertuduh sedang memotong kabel elektrik di bangunan berkenaan.
Pengawal berkenaan menghampirinya dan ternampak seguni kabel wayar pelbagai warna di sebelah tertuduh.
Berikutan itu, pengadu menyoal tujuan tertuduh sebelum menahan dan membawanya ke balai polis berhampiran.
Siasatan mendapati tertuduh mencuri dawai elektrik itu untuk membeli dadah.
Jumaat, 4 April 2008
Tarif Elektrik Kekal
Sumber: Utusan Malaysia Online
PUTRAJAYA 25 Mac – Kerajaan akan mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada selagi harga minyak dan gas tidak berubah, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata, apa yang penting bagi kementerian sekarang ialah memastikan keberkesanan penggunaan elektrik.
"Ini yang akan kita perkenalkan iaitu bagaimana menguruskan permintaan bekalan elektrik dan meningkatkan keberkesanan penggunaan elektrik,'' katanya.
Shaziman bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas oleh bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik kepada beliau di kementerian itu di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa harga bahan api dan gas sedia ada dikekalkan.
Sabtu, 29 Mac 2008
"Earth Hour" di Malaysia
Sumber: Utusan Online
29 Mac 2008
MENARIK bukan? Program kesedaran yang asalnya hanya dibuat untuk satu bandar, kini telah berjangkit ke semua bandar-bandar utama seluruh dunia.

Dewan Opera House sebelum dan selepas digelapkan semasa Earth Hour tahun lepas.
"Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai keperluan satu tindakan proaktif dilakukan bagi menangani isu pemanasan global. Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap iaitu memadamkan semua lampu dan penggunaan barangan elektrik tepat pada pukul 8 malam waktu tempatan selama 1 jam."
Sana-sini kita sering terdengar mengenai isu perubahan iklim akibat fenomena pemanasan global. Namun apakah sumbangan kita sebagai penduduk bumi bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, penyebab utama fenomena pemanasan global ini?
Dari senarai individu berdaftar dengan Earth Hour, 2,659 warga Malaysia telah membuktikan keprihatinan terhadap masalah pemanasan global.
Ini membolehkan negara menduduki ranking ketujuh senarai peserta teramai, iaitu hanya di belakang Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdon, New Zealand dan India, meskipun diikuti rapat oleh Singapura.
Sebenarnya sesiapa saja boleh membantu mengurangkan pelepasan gas tersebut. Malah banyak perkara-perkara yang mudah dilakukan dalam kehidupan harian seperti mengurangkan penggunaan atau mematikan terus peralatan elektrik yang tidak diperlukan atau penggunaan mentol jenis jimat tenaga serta lain-lain sumber tenaga yang lebih bersih.
Jadi tunggu apa lagi, apa kata malam nanti kita beramai-ramai menyokong kempen Earth Hour dan lihat berapa banyak pengunaan elektrik negara yang berjaya dijimatkan.
Jadikanlah Earth Hour rutin hidup setiap hari, bukan setakat malam ini.
Jumaat, 28 Mac 2008
Warga Emas Maut Kena Kejutan Elektrik
KOTA BHARU 24 Mac - Seorang warga emas yang mengusahakan tanaman kulat ditemui mati selepas dipercayai terkena kejutan elektrik ketika berada di dalam bangsal di belakang rumahnya di Kampung Pintu Geng, dekat sini, petang semalam.
Mangsa, Abdul Rahman Abdullah, 64, ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri berhampiran kipas angin oleh anaknya, Roslina, 32, yang masuk mencarinya selepas panggilan tidak disahut.
Roslina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira 7 petang, ketika dia meninjau bangsal bapanya yang mengusahakan tanaman kulat.
"Saya cuba kejutkan bapa saya beberapa kali dan cuba memberi bantuan tetapi terasa arus elektrik, lalu saya bergegas naik ke rumah dan menutup fius utama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, hari ini.
Katanya, dia dengan bantuan penduduk kampung kemudian mengusung bapanya naik ke rumah sebelum menghubungi ambulans.
"Saya mengesyaki bapa saya terkena kejutan elektrik daripada kipas itu kerana sebelum ini dia tidak pernah membawa masuk ke dalam bangsal," katanya.
"Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan bapa saya terkena kejutan elektrik kerana tumit kakinya kehitaman dan jari kanannya luka.
"Selepas pemeriksaan oleh polis, mayat bapa saya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cengal, dekat Pintu Geng, di sini pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan, polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu dan mengklafikasikan mangsa mati mengejut.
Sabtu, 22 Mac 2008
Tenaga Solar Sumber Alternatif
Jumaat, 21 Mac 2008
Pencerobohan Maut - Jangan Bermain Dengan Elektrik
Jumaat, 1 Februari 2008
Borong Fius Maut
1 Februari 2008
Sumber: Harian Metro
KUALA LUMPUR: Pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui pelbagai komponen dan perkakas elektrik di rumah mereka sebenarnya tidak menepati piawaian, sebaliknya hanya menggunakan pelekat Sirim palsu yang tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga.
Difahamkan, kebanyakan peralatan elektrik seperti suis, fius, soket, wayar penyambung dan pelbagai perkakas lain dihasilkan sesuka hati oleh pengilang haram di bengkel tanpa mematuhi piawaian dan kelulusan Sirim.

Penggunaan perkakas elektrik ‘maut’ itu mengundang bahaya berikutan ia dikesan menjadi punca utama kejadian litar pintas, renjatan dan letupan barangan elektrik di rumah selain kebakaran kediaman atau premis perniagaan.
Penemuan memeranjatkan itu terbongkar selepas siasatan Sirim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati pelbagai perkakas elektrik yang dijual di pasaran tidak memenuhi piawaian ditetapkan Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi.
Hasil risikan sepasukan Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya, semalam menemui sebuah premis pemborong barangan elektrik di Kepong di sini, yang menjadi antara pengedar utama perkakas elektrik tiruan kepada pengguna.
Susulan itu, lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya diketuai Penolong Pengarahnya, Rosley Abdullah dibantu dua pegawai Sirim, menyerbu premis berkenaan jam 12 tengah hari.
Serbuan itu menyebabkan pemilik premis dan empat pekerjanya terkejut sebelum mengaku memperoleh bekalan ‘bahan mentah’ perkakas elektrik daripada pengedar di Sungai Buloh, Selangor.
Jurucakap KPDNHEP memberitahu Harian Metro, hasil pemeriksaan di premis itu menemui soket elektrik yang ditampal pelekat Sirim palsu oleh peniaga terbabit.
Selain itu, katanya, pegawai Sirim dan KPDNHEP turut menemui komponen peralatan elektrik lain yang didapati tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan Sirim membabitkan suis, kotak fius, soket mudah alih, kabel, soket, wayar penyambung serta pelbagai perkakas lain.
“Lebih mengejutkan apabila semua peralatan elektrik itu ditampal pelekat Sirim dan Suruhanjaya Tenaga untuk mengaburi pengguna.
“Pemilik kedai berusia 30-an turut mengaku memasang sendiri beberapa komponen lerai perkakas elektrik di belakang kedainya untuk menjimatkan kos.
“Siasatan lanjut mendedahkan perbuatan lebih menakutkan apabila ahli perniagaan itu mengaku menjual peralatan elektrik tidak selamat itu kepada kontraktor dan pemaju perumahan untuk beberapa projek besar.
“Jika benar dakwaan itu, penghuni rumah berdepan bahaya berikutan kotak fius, kabel dan wayar digunakan bakal menjadi punca kejadian litar pintas atau letupan kepada peralatan elektrik digunakan,” katanya.
Malah, katanya, siasatan mendapati ada wayar elektrik yang sepatutnya menggunakan dawai tembaga diganti besi disalut tembaga, menyebabkan ia gagal menampung kepanasan arus elektrik, lalu menyebabkan kebakaran.
Dalam serbuan itu, KPDNHEP merampas peralatan elektrik tiruan bernilai lebih RM10,000 dan ahli perniagaan terbabit bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, pemilik premis terbabit yang memalsukan logo Sirim dan Suruhanjaya Tenaga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh dihukum denda sehingga RM250,000.




















